NEW YORK: Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) menggesa hakim agar menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun ke atas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng selepas dia disabitkan bersalah membantu rompakan berbilion dollar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada April lalu, juri di mahkamah persekutuan Brooklyn mendapati Ng yang juga bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, bersalah kerana membantu bekas bosnya, Tim Leissner yang pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara menggelapkan wang 1MDB.

Mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dan merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan.

Hakim Daerah AS, Margo Brodie dijangka menjatuhkan hukuman kepada Ng pada 9 Mac ini.

Sebelum ini, dalam rayuannya pada 25 Februari lalu, Ng meminta agar dia tidak dikenakan hukuman penjara dan dibenarkan pulang ke Malaysia.

Ng juga telah menghabiskan enam bulan di penjara Malaysia sebelum mengetepikan haknya untuk mencabar ekstradisi ke AS pada 2018.

Dia, bagaimanapun, dibebaskan dengan ikat jamin tetapi tertakluk kepada perintah berkurung sejak disabitkan kesalahannya.

Tuduhan ke atas Ng bertitik tolak pada AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) bon yang diterbitkan oleh Goldman bagi membantu 1MDB.

1MDB diasaskan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia, yang dijual pada 2012 dan 2013.

Namun begitu, pendakwa raya berkata, sebanyak AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu telah digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka, dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

Ng, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan berhujah bahawa bayaran sogokan AS$35 juta (RM156.65 juta) yang diterimanya merupakan pulangan atas pelaburan yang dibuat isterinya.

Leissner pula mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion (RM12.98 bilion).